Logo Jamai'y

Logo Jamai'y

Monday, May 11, 2009

MEMORANDUM mUAFAKAT ULAMA' MENOLAK PPSMI

JARINGAN ULAMA PRIHATIN
Sekreteriat Setiausaha Agung Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)
1014A Kampung Pondok Batu Hampar Merbok Kedah darul Aman

MEMORANDUM
Muafakat Ulama’
Membela Martabat Bahasa Melayu
(MU’ALLIM)
15 Jamadilawal 1430H/ 10hb Mei 2009


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang



Memahami bahawa bahasa mempunyai kaitan langsung dengan persoalan falsafah dan pegangan hidup seseorang Muslim.
Memahami bahawa dengan pemisahan agama dari bahasa akan membawa implikasi besar kepada kaum Muslimin dari sudut pegangan hidup Islam yang berasaskan Tauhid.
Menginsafi bahawa kepentingan penggunaan bahasa dalam Islam ada kaitan dengan makna yang boleh member kesan kepada nilai dan perinsip asas dalam kehidupan seseorang muslim.
Meneliti bahawa fungsi bahasa sangat jelas kepentingan da kedudukannya dalam pengembangan dan penyampaian risalah Islam.
Menginsafi betapa sekularisasi bahasa akan membawa kepada sekularisasi kehidupan kaum kerangka berfkirnya terhadap tasawur Islam yang benar dan murni.
Menghayati betapa bahasa Melayu telah melalui sejarah Islamisasi yang tersendiri sejak kedatangan Islam di alam Melayu, oleh kerana itu ia telah menjadi bahasa yang terpilih untuk membentuk pegangan hidup Islam dikalangan ratusan juta kaum Melayu di nusantara ini.
Menerima bahawa Bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam perkara 152 Pelembagaan Persekutuan sebagai bahasa Kebangsaan Negara ini.
Mengambil perhatian serius bahawa perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran sains dan matematik Dalam bahasa Inggeris) sejak tahun 2002, telah menjejas status dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.
Menyesali bahawa PPSMI telah dilaksanakan dengan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang lebih terperinci da tanpa mengambil pandangan balas dari ahli cendiakawan dan ilmuan Islam.
Memandang serius bahawa perlaksanaan PPSMI telah memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang kepada tahap prestasi pelajar-pelajar di kawasan luar bandar.
Memberi perhatian berat kepada perlaksanaan PSMI yang telah mengenepikan segala usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berkeupayaan tinggi untuk mendidik anak bangsa khasnya dan warga negara amnya.
Memahami bahawasanya perlaksanaan PPSMI oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak mengambil kira segala hujah ilmiah beradasrkan undang-undang, sejarah, kesan, tamadun, sosio-budaya, pembinaan jati-diri dan tamadun bangsa yang telah dibentang oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam negara.
Mengesahkan bahawa beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu ada kaitan denga ta’rif melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan ini bermakna keserasian bahasa Melayu dengan keislaman bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan.

Maka kami sebagai golongan agama yang prihatin terhadap sebarang hal-ehwal yang ada kaitan dengan kedudukan Islam dan kaum Muslimin di negara ini berpendirian,

1) Menolak perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara.


2)Membantah penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekaligus bahasa Islam.


3)Menegaskan bahawa dalil agama untuk mengambalikan pengajaran sains dan matematik kepada bahasa melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:-


Merujuk surah Rum ayat 22:
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang Mengetahui.

Surah Ibrahim ayat 4:
Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya[779], supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan[780] siapa yang dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang dia kehendaki. dan Dia-lah Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

[779] Al Quran diturunkan dalam bahasa Arab itu, bukanlah berarti bahwa Al Qu'an untuk bangsa Arab saja tetapi untuk seluruh manusia.
[780] disesatkan Allah berarti: bahwa orang itu sesat berhubung keingkarannya dan tidak mau memahami petunjuk-petunjuk Allah. dalam ayat ini, Karena mereka itu ingkar dan tidak mau memahami apa sebabnya Allah menjadikan nyamuk sebagai perumpamaan, Maka mereka itu menjadi sesat.

Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al Quran menggunakan bahasa Ibunda Arab sebagai pengantar da menjelaskan makna dan intipati ajaran slam kepada bangsa arab.

Surah Assura ayat 7:


Demikianlah kami wahyukan kepadamu Al Quran dalam bahasa Arab, supaya kamu memberi peringatan kepada ummul Qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) sekelilingnya[1339] serta memberi peringatan (pula) tentang hari berkumpul (kiamat) yang tidak ada keraguan padanya. segolongan masuk surga, dan segolongan masuk jahannam.

[1339] Maksudnya: penduduk dunia seluruhnya.

Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al Quran memilih bahasa Arab sebagai pengantar. Lantaran itu bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat malaysia.

Surah Yusuf ayat 2:

Sesungguhnya kami menurunkannya berupa Al Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya.

Surah Toha ayat 113:

Dan Demikianlah kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab, dan kami Telah menerangkan dengan berulang kali, di dalamnya sebahagian dari ancaman, agar mereka bertakwa atau (agar) Al Quran itu menimbulkan pengajaran bagi mereka.

Surah Az Zumar ayat 27-28:

Sesungguhnya Telah kami buatkan bagi manusia dalam Al Quran Ini setiap macam perumpamaan supaya mereka dapat pelajaran.
28. (ialah) Al Quran dalam bahasa Arab yang tidak ada kebengkokan (di dalamnya) supaya mereka bertakwa.


Surah Al Fussilat ayat 2-3:

2. Diturunkan dari Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
3. Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui,

Surah Al Zukhruf ayat 3:

Sesungguhnya kami menjadikan Al Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memahami(nya).

Semua ayat-ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej rislaah Islam yang disampaikan kepada manusia. Manakala bahasa melayu yang sarat dengan konsep Islam dari Al Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa Inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini.

4)Mendesak supaya perlaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa lain di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat.


5)Menuntut agar kerajaan mengekalkan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa lain.


6)Mendesak agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan Negara termasuk menggalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara.


7)Menegaskan bahasa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya namun bukan dengan cara mengenepikan bahasa Melayu sebagai pengantar matapelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini.


8)Menggesa supaya penggunaan bahasa Melayu sebagai pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor negara samada awam mahupun swasta.


9)Menegaskan bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdalih dengan alasan pencapaian UPSR, PMR dan SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI.


10)Mendesak supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuatu bangsa dan negara.


11)Menggesa agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar di semua institusi pendidikan negara agar bersama bersatu untk membantah perlaksanaan PPSMI


KAMI DENGAN INI MENANDATANGANI PENGISYTIHARAAN INI SEBAGAI PENDIRIAN KAMI UNTUK DIPERKIRAKAN SEBAGAI ASAS KAMI MEMBELA MARTABAT BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN DAN PENTADBIRAN NEGARA.



Tuesday, May 5, 2009

Teras menyeru umat Islam peka dengan isu aqidah umat

Mengikuti kes hak penjagaan dan agama anak Mohd Ridzuan, menyebabkan kita faham bahawa kes-kes hak penjagaan anak bagi mana-mana individu yang menganut Islam atau yang bertukar agama akan senantiasa berulang. Walaupun telah beberapa kali keputusan mengenai kes sebegini telah dibuat namun penafsiran berbeza bagi pengamal undang-undang serta campur tangan pihak eksekutif menyebabkan kes-kes aqidah menjadi tidak keruan.

TERAS Perak berpendapat bahawa perlunya umat Islam baik di peringkat nasional mahupun yang berlokaliti setempat dengan kes-kes sebegini, agar cakna dan peka dengan perjalanan perundangan sebegini. Ukhuwah persaudaraan kerana Islam perlu ditonjolkan dan ditampil dalam bentuk kebersamaan dalam isu sebegini. Alhamdulillah selain TERAS, pihak ABIM Perak, Muafakat dan ACCIN serta PEMBELA sentiasa peka dan perihatin akan perjalanan kes ini sekaligus memberi jaminan kepada mualaf yang mengalami permasalahan yang sebegini.

Jika kita lihat hari ini, kelompok hak asasi, peguam sivil serta badan-badan liberalis-sekularis, kian rancak menyatukan paduan tenaga untuk menjamin hak mereka menurut fahaman mereka. Walaupun hak terhadap Islam banyak dipelihara melalui Perlembagaan Persekutuan, namun jika umat Islam atau badan-badan Islam leka dan alpa dalam menjaga kebajikan dan ukhuwah sesama kita, maka syariah dan aqidah kita mudah untuk diburaikan.

Generasi tarbiah di kalangan pendakwah awam, penggerak gerakan Islam perlu menampilkan sikap perihatin kita dengan menghulurkan bantuan baik dari segi pemikiran, tenaga, wang ringgit dan kepakaran masing-masing demi agama kita.

Selain itu dalam hal kita mendepani cabaran abad ini, mengetahui perundangan sivil, pemahaman perlembagaan Malaysia serta akta-akta perundangan adalah suatu keperluan. Jika dahulu jihadnya dengan pedang, kini jihad dengan kepetahan dan kefasihan dalam pemikiran, berhujah dan mengetahui pentas pertahanan Islam era ini. Jika sesetengah pendakwah mengabaikan pengetahuan am, pengetahuan undang-undang bukan Islam, pengetahuan berdebat dan ilmu sains politik, maka umat Islam akan terus ketinggalan. TERAS berpendapat, perlunya pendakwah serta umat Islam kita mengkaji dan terus mengkaji serta memiliki ‘self research’ walaupun di mana sahaja kita berada.

Adalah amat diharapkan, agar kita umat akhir zaman menyatukan paduan kerja melalui ukhuwah yang syumul disamping menggilap kepakaran melalui ilmu-ilmu tambahan seperti yang dinyatakan tersebut.

Pengerusi TERAS Perak
Ustaz Wan Ahmad Tarmizi

Saturday, May 2, 2009

Mesyuarat KHAS Memorandum Rakyat bersama 17 NGO Cina

Mesyuarat KHAS Memorandum Rakyat bersama 17 NGO Cina
8 malam
Kedai makan sebelah Gereja Elim, Ipoh
Isnin 4 Mei 2009

Justifikasi mengapa PPSMI perlu dimansuhkan

Justifikasi mengapa PPSMI perlu dimansuhkan
Muhammad Nuruddin Bashah
Bc (Hons) Kejuruteraan Bahan Universiti Malaya
Setiausaha Teras Pengupayaan Melayu (Perak)


Pendahuluan.
Kertas ini disediakan untuk membantu pejuang bahasa Melayu menggunakan hujah undang-undang, fakta dan terma yang tepat untuk berhadapan dengan suasana negara yang mengalami sindrom kemerosotan bahasa eka. Perjuangan pujangga, ilmuan dan wartawan bahasa pada zaman sebelum dan selepas kemerdekaan menatijahkan bahasa Melayu termaktub di dalam perlembagaan serta disulami dalama pelbagai akta dan dasar kebangsaan untuk diimplementasikan secara menyeluruh. Malaysia belum hampir kepada fenomena krisis bahasa peribumi seperti di Brazil yang kini menggunakan bahasa Portugis, krisis kepupusan bahasa etnik di benua Amerika serta Benua Australia, namun langkah pro aktif dan progresif pelru diambil oleh kita yang mengaku warga Malaysia. Menurut Dr Abu Hassan Hasbullah, Tamadun diukur dari aspek adiluhur bahasa, budaya dan seni sesebuah masyarakat.
[1]

Perlaksanaan Pengajaran dan pembelajaran sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah merobek kepercayaan umum berkenaan leluhurnya undang-undang, perlembagaan dan serta maruah bagi dasar-dasar kebangsaan di negara ini. PPSMI telah mencerminkan bahawa pragmatisme telah menjadi lumrah bagi pentadbir negara untuk beranjal terus mengikut pasaran ekonomi dunia hingga menidakkan kemajuan bangsa pada perspektif jangka masa panjang. Lantaran itu PPSMI telah bercanggah dengan pelbagai akta dan dasar di Malaysia. Di sini saya kemukakan secara 10 fakta percanggahan berkenaan kepada pembaca untuk bersama kita teliti dan berfikir untuk bertindak.

1. Bertentangan Falsafah Pendidikan Negara
Mekanisme serta modus operandi untuk merealisasikan intipati Falsafah pendidikan Negara adalah bergantung kepada bahasa yang dijadikan mediumnya. Jika bahasa tersebut diperkemaskan, berutiliti serta bernilai dalam sesebuah negara, nescaya penggunaannya berjaya membawa kepada fokus falsafah pendidikan lebih berkesan.

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"

Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan1957 - Mata pelajaran wajib sekolah rendah dan menengah
1970 - Bahasa pengantar darjah 1
1975 - Semua Sekolah Rendah Inggeris selesai ditukar menjadi Sekolah Rendah Kebangsaan
1976 - Bahasa pengantar Tingkatan 1
1979 - Bahasa pengantar Tingkatan VI aliran sastera
1980 - Bahasa pengantar jurusan sastera tahun 1 di universiti
1981 - Bahasa pengantar tingkatan VI aliran sains
1982 - Bahasa pengantar semua peringkat persekolahan
1983 - Bahasa pengantar semua kursus di universiti

Kemudian dari tahun 1983, berlaku kebangkitan penumbuhan institut pendidikan tinggi swasta yang menurut pasaran kerja semasa yang mengutamakan bahasa Inggeris. Bukan sekadar pengantar di dalam dewan kuliah, malah bahasa Inggeris mendominasi pentadbiran dan pengurusan umum di IPT berkenaan. IPTA tidak dapat tidak terpaksa bersaing demi untuk mengekalkan ‘prestij’ sebagai universiti yang mampu melahirkan mahasiswa yang mampu ‘bekerja’.

2. Langgar Perkara 10 (4)
[2]
Pemerintah Malaysia tidak menggunakan Perkara 10 (4) untuk melindungi bahasa Melayu malah menjadi penceetus kepada ketidakpercayaan kepada Bahasa Melayu. Lihat perkara ini.
“ (4) pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah fasal (2) (a), parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan bahagian 3, Perkara 152, 153 atau 181 berhubung dengan apa-apa juga melainkan berhubung dengan perlaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.”

3. Langgar Perkara 152
Perkara ini dibentang di Parlimen pada 23.2.1967 di mana Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan telah diterbitkan oleh Kerajaan dan kemudiannya berkuatkuasakan pada 1 September 1967. Hal ini kerana dalam Perlembagaan Persekutuan 1957, Bahasa Inggeris diberikan tempoh 10 tahun untuk digunakan sebelum dialihkan kepada bahasa Melayu.
“ 152. Bahasa Kebangsaan.
(1) bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Malaysia dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen”

Sila rujuk lagi di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 152 ini kerana ia amat panjang huraiannya.

4. Langgar Perkara 159
Lihat Perkara 159 (5)
“ Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada perkara 10 (4), undang-undang yang diluluskan dibawahnya, peruntukan Bahagian 3, Perkara 38, 63(4), 70, 71 (1), 72(4), 152 atau 153 atau kepada Fasal ini tidak boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-raja”

Ini bermakna, sebarang pindaan undang-undang dalam Perkara 152, maka Perkara 159 menjadi pembatasnya iaitu dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sahaja. Namun hari ini dasar senyap pemerintah yang merugikan bahasa Melayu dan ibunda lain melalui penswastaan pendidikan dan PPSMI, ia tidak melalui pindaan 152. Hal inilah yang menyusahkan pakar perundangan untuk membela Bahasa Melayu melalui saluran undang-undang.

5. Bercanggah Akta Pendidikan 1961
Secara amnya, Akta Pelajaran 1961 adalah berdasarkan kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Laporan Penyata Razak 1956. Asas utama yang dikemukakan oleh laporan tersebut adalah pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Justeru, Akta Pendidikan 1961 diwujudkan untuk melahirkan masyarakat majmuk yang bersatu padu. Akta ini merupakan satu mandat untuk mewujudkan satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan yang memberi tumpuan atau penekanan kepada: (1) penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama; (2) penggunaan kurikulum yang sama bagi semua sekolah; dan (3) pengambilan peperiksaan awam yang sama oleh semua murid. Tujuan utama Sistem Pendidikan Kebangsaan menekankan perkara-perkara tersebut adalah untuk mewujudkan satu bentuk identiti kebangsaan yang menyumbang ke arah perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai
kaum di negara ini.
[3]

Sejak awal kemerdekaan negara lagi, Malaya telah bertekad untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa integrasi, perpaduan dan kemajuan negara. Bahasa Melayu adalah gabungan harmoni antara bahasa asal bagai kaum-kaum melayu di nusantara. Apabial negara bangsa Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei terbina, perbendaharaan dan nahunya telah disistematikkan menurut keperluan dan tahap penggunaan setiap negara bangsa berkenaan.

6. Bercanggah akta pendidikan 1996
Lihat seksyen-seksyen di dalam Akta Pendidikan 1996 di bawah.
Seksyen 1
[4]
Satu daripada perbezaan utama bagi kedua-dua akta adalah berkaitan dengan Seksyen 1 Akta Pendidikan 1996 iaitu mengenai tajuk ringkas akta dan mula berkuatkuasa. Akta Pendidikan 1996 menggunakan perkataan “pendidikan”, manakala Akta Pelajaran 1961 pula menggunakan perkataan “pelajaran”. Walaupun terjemahan mudah bagi kedua-dua istilah tersebut ke bahasa Inggeris adalah sama iaitu ‘education’ tetapi maknanya jika dinilai dari sudut penekanan penggunaannya dalam bahasa Melayu adalah ternyata berbeza. Perkataan “pendidikan” adalah jauh lebih tepat berbanding dengan perkataan
“pelajaran”.
Seksyen 17
Seksyen 17 (1) Akta Pendidikan 1996 memperuntukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali di sekolah jenis kebangsaan atau mana-mana institusi pendidikan yang diberi pengecualian. Namun begitu, Seksyen 17 (2) memperuntukan bahasa kebangsaan hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib bagi mana-mana
institusi yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan.

Sementara itu, peruntukan yang terdapat di dalam Akta Pelajaran 1961 hanya memperuntukan bahasa kebangsaan adalah sebagai bahasa pengantar bagi sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sahaja. Sebenarnya pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 jelas telah memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.


7. Bertentangan Penyata Razak 1956
Laporan ini merupakan antara laporan dan kajian penting untuk melihat bagaimana fungsi bahasa melayu boleh dijadikan sebagai medium wajar untuk menghasilkan pendidikan yang mengekalkan kemajuan sekaligus jati negara.

Dengan tercapainya kemerdekaan pada tahun 1957 ,batu asas bagi Dasar Pendidikan Kebangsaan telah diletakkan. Batu asas kepada pendidikan Kebangsaan terkandung dalam ordinan 1957 yang lebih terkenal dengan Laporan Razak. Tiga aspek dasar yang penting terkandung dalam laporan ini ialah :-
• Pembentukan sistem pendidikan Kebangsaan .
• Pengakuan matlamat akhir bahawa bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama
• Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam persekitaran Malaysia.

Tujuan utama sistem pendidikan kebangsaan ialah untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai sikap toleransi. Penggunaan satu bahasa di semua peringkat pendidikan sehingga tahun 1982 juga bertujuan untuk menyatupadukan seluruh rakyat. Aspek ketiga di dalam laporan ini bertujuan untuk memberi tumpuan kepada fakta-fakta pengajaran yang mengandungi pengertian, pandangan hidup, norma, dan nilai yang berlandaskan alam Malaysia.
“Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan p[elajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar,walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”

(Penyata Razak perenggan 12)


8. Bertentangan Penyata Rahman Talib 1960
Laporan Talib yang diperakukan dalam Akta Pendidikan 1961 telah mengabdikan cita-cita yang terkandung dalam Laporan Razak dan menggariskan hasrat sistem pendidikan Kebangsaan yang terdapat sekarang. Terdapat empat aspek penting dalam laporan ini iaitu:-
• Menjadi titik permulaan ke arab pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama dan proses penukaran bahasa pengantar.
• Mewujudkan sistem peperiksaan persekolahan yang sarna walaupun berlainan bahasa di peringkat rendah, menengah,dan menengah atas
• Memberi penekanan kepada pendidikan teknik dan vokasional untuk keperluan tenaga mahir .
• Memberi penekanan kepada pendidikan moral dan keagamaan untuk keperluan kerohanian sebagai teras.

9. Bertentangan dengan Dasar kebudayaan Kebangsaan 1971

Saya memetik 2 kurungan di dalam rasional perlaksaan dasar kebudayaan Kebangsaan 1971. Budaya adalah rencah dan simprom luaran bagi sesebuah kaum jika dilihat dari segi makrospektif. Dari segi spiritual dan asas kemajuan budaya juga merupakan suatu ramuan asasi bagi menjadikan negara ini negara berprinsip, memiliki kredibiliti serta menyimpan tradisi jika diteliti secara mikrospektif. Lihat 2 kurungan di bawah.

(i)Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini. Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.
[5]

10. Bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967/69
Suatu Akta bagi menyatukan undang-undang berhubungan dengan penggunaan bahasa kebangsaan.
1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan hendaklah, tertakluk kepada subseksyen kurungan (2), dipakai di seluruh Malaysia. Kurungan (2) Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa di Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak pada tarikh-tarikh yang ditetapkan oleh Pihak-Pihak Berkuasa Negeri masing-masing, melalui enakmen Badan Perundangan Negeri masing-masing dan tarikh-tarikh yang berlainan boleh ditetapkan bagi mula berkuat kuasanya peruntukan-peruntukan yang berlainan dalam Akta ini di Negeri-Negeri itu.

2. Kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan berhubungan dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain dalam Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi
[6].


Penutup.

Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna menjadi hegemoni kepada bahasa lain di Malaysia. Malah Malaysia telah merayakan kemajmukan rakyat melalui penataran sistem pendidikan bukan kebangsaan serta berusaha mengelakkan kepupusan bahasa kaum lain dan pribumi. Hal ini jarag berlaku dalam sesebuah negara bangsa, malah penubuhan legitimasi negara bangsa selalu menundukkan serta menghapus terus upaya bagi bahasa kaum bukan majoriti. Bahasa melayu bukan merujuk semata-mata kepada kaum Melayu. Istilah bangsa ini bukan suatu yang bersifat ‘etnicity value’ malah bangsa di sini adalah merangkumi negara bangsa yang dibina atas teras usul kemelayuan. Tidak hairan sedari zaman penjajahan lagi, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa umum bagi kaum-kaum di tanah Melayu. Teras asal ini menjadi payung dan pentas untuk mempamerkan kebudayaan dan kemajuan Malaysia pada zahir dan rohaninya.

PPSMI telah menjadi permulaan kepada ketidakpercayaan pemimpin sendiri terhadap masa depan eka bahasa di Malaysia sebagai bahasa pencetus maju. Di sinilah peranan rakyat untuk terus bersuara dan berjuang demi menyelamatkan maruah negara.



[1] Lihat majalah Dewan Bahasa April 2009.
[2] Kesemua rujukan perlembagaan saya gunakan Perlembagaan Persekutuan 9hingga 15 Ogos 2003) terbitan ILBS
[3] Rujuk Esei Perbandingan Akta Pelajaran 1961 Dengan Akta Pendidikan 1996 yang merupakan tugasan Ahmad Fauzi bin Mohamed semasa mengikuti program MSc. (Education Management) di Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah Darul Aman.
[4] Ibid
[5] Sumber daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
[6] UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 32 AKTA BAHASA KEBANGSAAN 1963/67