Logo Jamai'y

Logo Jamai'y

Monday, November 16, 2009

Pusat pengedaran arak Perak dibuka berhampiran Kg Melayu Sg Rapat

Sumber: http://ajijoi.blogspot.com/

IPOH 17 NOV Jika dahulunya dibongkar mengenai penjualan arak yang berleluasa di kawasan majoriti Melayu di Medan Gopeng, Sg Rapat, kini penduduk berdekatan digemparkan sekali lagi dengan masalah yang lebih besar.

Sebuah bangunan baru yang dibina beberapa bulan lalu di Jalan Sultan Azlan Shah Selatan iaitu jalan yang menuju ke Kg Sg Rapat dan juga Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh kini akan dibuka sebagai Pejabat Pemasaran Perak untuk jenama arak popular Guiness Anchor.

Di harapkan semoga kawasan majoriti Melayu yang berhampiran iaitu Kg Sg Rapat dibebaskan segera daripada pengaruh penjualan arak yang menjadi ibu kepada segala maksiat.

Penduduk Melayu di Kg Sg Rapat, Kg Rapat Jaya dan Kg Rapat Jaya Tambahan yang terletak hanya dibelakang pejabat pemasaran arak ini menggunakan laluan dihadapan pejabat tersebut setiap hari untuk ke pusat bandar.

Semoga pejabat pemasaran arak ini dapat dipindahkan jauh daripada kawasan penduduk yang majoritinya Melayu beragama Islam.

Pihak berkuasa tempatan perlu bertindak segera dan lebih peka kepada sensitiviti umat Islam yang berhampiran.

Pub-pub kecil di Kampar; sila tangani segera!

Pub-pub kecil di Kampar; sila tangani segera!

Rakyat Kampar mungkin tidak hairan dengan pendedahan oleh beberapa pemilik premis makanan dan perniagaan sekitar Plaza Keranji Jalan Pasar berkenaan isu pengemis dan pusat arak remaja Kampar di sana.

Sinar Harian edisi Perak 6 November 2009 temubual mereka bersama beberapa pemilik premis makanan yang mengadu kawasan perniagaan mereka dikelilingi oleh para pengemis yang membuat kotor serta lorong celahan tangga seolah-olah ‘ pub kecil’ yang menjadi tumpuan para remaja sekolah meminum arak secara terbuka.

Adakah hal senario biasa ini perlu dibiar berterusan?

Isu pengemis perlu ditangani oleh pihak pemaju Plaza Keranji berkenaan serta dikuatkuasa juga oleh pihak berkuasa tempatan. Kita jelas boleh mengandaikan perkara ini telah dimkalumi oleh pihak terbabit, tinggal lagi perlaksanaan dan penguatkuasaan sahaja yang kurang efektif.

Bau busuk dan botol arak murah terlonggok di celahan tangga dan kedai-kedai.

Isu arak murah yang dikeluarkan secara haram bukan perkara baru. Di Padang bandaraya Green Town anda boleh menjumpai secara mudah botol-botol arak murah berkenaan yang berkandungan 24% alcohol yang semestinya bukan sekadar mabuk, malah membunuh! Jika anda menghubungi alamat yang tertera pada botol tersebut, jawapannya anda menjumpai alamat ‘hantu’ yang tidak wujud.

Isu ‘arak haram’ perlu ditangani melalaui siasatan dari mana ia dijual dan dipasar kepada remaja sebelum Berjaya menjumpai kilang-kilang kecil mereka. Mayarakat juga tahu walaupun buat-buat tak tahu, berkenaan kewujudan arak murah Thai Song yang menjadi kegilaan mat rempit. Dijual dalam harga semurah RM3 sahaja, semua remaja mampu memiliki minuman beralkohol semaksima 30% !

Kerosakan akhlak remaja dan sosial di sekitar Plaza Keranji merosakan imej komuniti kita di sana. Kepada parti politik di sana, sila bertindak untuk kebaikan kebajikan masyarakat anda.

Muhammad Nuruddin Bashah

Setiausaha TERAS Caw Perak

Monday, November 2, 2009

Perlancaran e-relawan; bentuk baru pemuafakatan aktivis kemasyarakatan.

Gambar kanak-kanak di Padang baru-baru ini...


Jamai’y Perak yang merupakan akronim bagi Jaringan Permuafakatan Pertubuhan Islam Perak telah menubuhkan satu komuniti baru iaitu e-relawan. Kelompok Relawan Jamaiy ini telah julung-julung kalinya mengadakan siri bantuan ke Padang Indonesia pada bencana gempa bumi baru-baru ini. E-relawan bakal menghimpunkan relawan bukan sahaja dari Malaysia malah beberapa Negara jiran juga untuk dilatih sebagai skuad bantuan bencana alam dan kerja kemanusiaan dalam peperangan dan penindasan terhadap umat Islam.

Kelompok relawan ini akan didaftarkan secara online dan merupakan satu rangkaian besar yang kini juga telah menghimpunkan belia sedar di serata nusantara seperti Acheh, Brunei, Padang, Patani dan Solo. Malah e-relawan juga sedang berusaha mengumpul keahlian dari Negara-negara timur tengah.

Jamai’y Perak akan melancarkan satu gerakan e-relawan pada 7 Nov 2009 (sabtu). Program akan Bermula pada jam 8 malam.

Mustapa Mansor Pengarah e-relawan Jama'iy Perak amat berharap agar program ini juga disertai oleh semua belia-belia di Perak memandangkan ia akan berpusat di Perak. Kehadiran Unit Amal di majlis perlancaran tersebut amatlah diharapkan memandang pengalaman dan kapabiliti Unit Amal yang telah teruji dalam pelbagai bentuk bantuan bencana alam boleh dimanfaatkan kepada relawan-relawan baru yang ingin bersama dalam agenda kemasyarakatan ini.

Program akan bertempat di Pusat Motivasi Jamaiy Perak, No 33 a, Jalan Ampang Baru 6a, Ipoh Perak (bersebelahan Universiti Kuala Lumpur cawangan Perak). Sila hubungi Mustafa 012 3333825 (pengerusi)




Saturday, October 24, 2009

Kenyataan TERAS Perak; Tingkatkan keefisienan Bajet 2010

Kenyataan TERAS Perak; Tingkatkan keefisienan Bajet 2010

TERAS cawangan Perak menyambut baik pembentangan bajet 2010 oleh Perdana Menteri baru-baru ini dengan harapan bajet tersebut adalah satu pengaliran wang untuk kesejahteraan rakyat dan masyarakat bawahan. Erti kesejahteraan yang dimaksudkan adalah nilai kepuasan dan kenikmatan yang efektif yang berjaya dirasai oleh para rakyat secara umum serta bebas daripada segala pengaruh kroni, pembaziran serta gejala ‘mark-up’ wang oleh pihak-pihak tertentu yang semestinya bakal mengurangkan keberkesanan wang tersebut.

Bagi kami, erti kemakmuran dan pengutamaan rakyat seperti yang cuba digagaskan oleh Gagasan 1 Malaysia bukanlah dengan melihat jumlah atau peruntukan wang dan amaun yang digunakan untuk sesuatu sektor. Kemakmuran dan kesejahteraan ini hanya menjadi realiti apabila sejumlah wang tersebut diterjemah bersama manual operasinya yang cermat dan teliti demi memastikan pengaliran wang tersebut sahih serta berkesan.

TERAS Perak meneliti juga unsur kerosakan dalam negara yang sebenarnya telah lama membunuh sebarang sistem, bajet atau perancangan negara ini iaitu barah rasuah. Kami merujuk strategi kedua bajet 2010 iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan, kerajaan akan meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, memantapkan sistem perbankan dan kewangan, memerangi rasuah, pembangunan wilayah koridor, dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan.

Rasuah tidak boleh dibunuh atau ditangani hanya melalui stimulus wang yang besar. Rasuah adalah penyakit sosial yang berakar umbi dari sekecil-kecil perkara seperti guru, kerani atau pekerja am sehinggalah ke kerusi para menteri. Yang membezakannya hanyalah amaun wang yang dirasuahkan.

Rasuah adalah antara penyakit yang bakal menggagalkan sebarang perancangan yang telah kerajaan garapkan kerana umum masyarakat telah menyedari betapa wang yang disalurkan semestinya akan ditapis oleh pihak tertentu terutamanya apabila melibatkan projek-projek berpotensi komersial. Peruntukan besar untuk TNB, Projek Empangan Paya Peda di Terengganu, memodenkan industri akuakultur, Konsortium FELDA, FELCRA dan RISDA, peruntukan RM9 bilion untuk biayai projek infrastruktur, TEKUN dan bajet RM14.8 bilion untuk mengurus, membangun dan menaik taraf hospital dan klinik adalah antara projek yang berpotensi komersial dan perlu dikawal serta memiliki ketelusan (transparency) tinggi untuk diaudit. Gejala salah laku wang dan rasuah umpama kes mega PKFZ perlu diperangi habis-habisan serta dijadikan prioriti utama kerajaan.

Ketua Audit Negara juga perlu diberi hak istimewa dan diisytiharkan sebagai bebas dan beroutoriti untuk mengaudit sebarang pengaliran wang sepertimana yang terkandung dalam Bajet 2010. Pengupayaan sistem audit adalah antara perkara utama yang ingin dimaklumi oleh rakyat. Justeru itu, seiring dengan pengisytiharaan bajet 2010, sikap dan keagresifan kerajaan dalam dua perkara iaitu rasuah dan pengupayaan sistem audit negara adalah penting sekali.

TERAS juga tertarik dengan strategi ketiga iaitu , kerajaan akan berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar serta pedalaman, dan menambahbaik pengangkutan awam. Statistik IPKKL dari Januari hingga April tahun 2009 menunjukkan kes jenayah samun bersenjata meningkat sebanyak 2,254 kes berbanding 1,249 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu manakala kes jenayah ragut juga mencatatkan peningkatan 1,206 kes tahun ini berbanding 606 kes pada tahun lepas. (sumber: http://mstar.com, 16 April 2009).

Jenayah ragut di ibu negara juga semakin membimbangkan dengan peningkatan 99 peratus kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2009, berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Antara bulan Januari hingga April tahun 2009, sebanyak 600 kes jenayah ragut dicatatkan iaitu 1,206 kes berbanding 606 kes sepanjang tempoh yang sama tahun 2008. Justeru jenayah perlu ditangani secara mendasar dan perlu bermula dari akar umbi.

Keutamaan menangani jenayah dan pengupayaan sistem keselamatan bukan suatu isu yang bernilai ekonomi semata-mata seperti ingin menarik pelabur umpamanya walaupun isu ini jelas menjejaskan kehadiran pelabur asing. Menurut Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi 2009-2010 yang baru dikeluarkan, ranking keselamatan negara jatuh 25 tangga ke kedudukan ke-85. Isu keselamatan bukan sahaja menjadi kerisauan rakyat tetapi pelaburan dari luar juga menguncup dengan tahap daya saing Malaysia peringkat global jatuh tiga anak tangga ke kedudukan ke-24.

Isu jenayah perlu dilihat dari sudut punca dan sebab musababnya. Sikap kerajaan yang meliberalisasikan hiburan sekaligus mencambahkan benih hedonisme adalah antara punca berlakunya gejala sosial dan jenayah. Perlaburan tinggi untuk industri filem dan muzik yang kelihatannya enggan menerima nasihat dan teguran masyarakat telah membuahkan padah kepada sistem sosial kita hinggakan gejala kecil seperti sikap menghias motosikal mampu bertukar kepada sikap mat rempit, jenayah bunuh dan arak.

Kerajaan perlu menumpukan juga aliran wang untuk merealisasikan strategi ketiga Bajet 2010 melalui NGO-NGO sosial yang konsisten mendekati remaja dan belia yang bermasalah. NGO yang terbabit adalah seperti UNGGAS dan LANDAS, Persatuan Ulama’ Malaysia, Rumah Pemulihan Akhlak Raudhatus Sakinah, serta lain-lain NGO yang diperhatikan cukup komited berusaha menyelamatkan aqidah, moral dan akhlak para remaja dan belia negara ini. Bajet yang mendasar sebeginilah berupaya membuktikan bajet 2010 adalah untuk rakyat.

TERAS juga ingin menegur kerajaan agar mengurangkan retorik 1 Malaysia dalam setiap agenda yang ingin dilaksanakan umpama perlaksanaan Klinik 1 Malaysia. Jika Islam Hadhari menjadi propaganda Perdana Menteri terdahulu kini tersisih, adakah Klinik 1 Malaysia yang bakal berjasa kepada warga kota akan terlupus sebaik sahaja peralihan jawatan Perdana Menteri berlaku? Kerajaan seharusnya tulus dan berkhidmat terus kepada rakyat tanpa mengira jenama yang ingin dipaparkan. Jadikan keberhasilan khidmat dan pengurangan ketirisan wang sebagai KPI untuk menilai kejayaan Bajet 2010.

Kenyataan TERAS Cawangan Perak

Ustaz Wan Ahmad tarmizi Bin Abdul Aziz (Pengerusi TERAS Perak)

Muhammad Nuruddin Bin Bashah ( Setiausaha)

Haji Muhammad Saleh Bin Abu bakar ( Ketua Penerangan)


Monday, October 19, 2009

Sekilas pandang Gerakan Aktivis Qariah Malaysia

Jamaiy Perak (Jaringan Permuafakatan Pertubuhan Islam Perak) dengan kerjasama TERAS dan CAP serta JAIPk berjaya menganjurkan Latihan Kepimpinan Organisasi Qariah peringkat negeri Perak pada 11 Oktober 2009 di Pusat Motivasi JAMAIY Seri Ampang.

Program ini berjaya mengumpul hampir 100 orang peserta mewakili qariah tertentu serta NGO-NGO yang bernaung di bawah Jamaiy Perak.

Saudara Nazri Sahat selaku koordinator Sekreteriat Kebangsaaan Gerakan Aktivis Qariah Malaysia telah menyampaikan dua sesi ceramah dan pembentangan slide sejurus selepas ucapan aluan oleh Ustaz Zulkifli (Timbalan Pnegerusi Jamaiy Perak) dan perasmian oleh Dato' Sheikh Mohd Nor Bin Mansor Al Hafiz (Pengarah JAIPk)

Kini telah hampir 1000 Qariah telah dibentuk dengan kehadiran 3000 orang aktivis qariah yang aktif.

Program adalah diilhamkan oleh Cikgu Azmi Abd Hamid, iaitu Presiden TERAS Pusat dan Ketua Biro Pendidikan CAP dan ia masih dalam suatu proses pembinaan dan pengukuhan.

Program akan dating antaranya adalah 7 November 2009 (setiap sabtu pertama bulanan), 8 November 2009 (Latihan kedua Aktivis Qariah), 5-6 Disember 2009 Lawatan Kerja/Latihan di Pulau Pinang dan penyampaian sijil. Manakala seterusnya Program Latihan Kepimpinan Aktivis Qariah Daerah bulan 1-4 2010, Program Latihan Kepimpinan Aktivis Qariah Mukim bulan 5-9 2010 dan Program Advokasi Isu Aktivis Qariah bulan 10-12 2010

GAQM (Gerakan Aktivis Qariah Malaysia) adalah sebuah program yang mempunyai jiwa dan sifatnya yang tersendiri yang digariskan seperti berikut :

1. Berdasarkan Prinsip dan Amalan Aktivisme Kemasyarakatan Yang Sebenar

2. Non Partisan Politic ( Bukan berlandaskan politik kepartian ), Non Government ( Bukan Berlandaskan Sistem Dan Kaedah Gerakerja Kerajaan )

3. Non Profit ( Bukan Untuk Mencari Keuntungan Materialisme ) tetapi berteraskan CSP ( Community Support Programme )

4. Bebas, Mandiri dan Berdikari Tetapi Boleh Menerima Bantuan Dari Mana-Mana Pihak Yang Memberikannya Demi Perubahan Masyarakat Tanpa Kenaan Syarat Yang Melanggar Prinsip

5. Tersendiri, Teratur Dan Penyelarasan Yang Baik Melalui Pelbagai Bahan Yang Disediakan Secara Terbuka dan Bebas.

6. Menggabungkan Kepelbagaian Sumber Dan Tenaga Dari Pelbagai Pihak Terlibat

7. Berteraskan Al Quran, Sunnah serta Hikmah Demi Mencari Keredhaan Allah swt

Terdapat 16 bidang aktivisme kemasyarakatan yang ingin digerakkan agar masyarakat kita di qariah ini benar-benar terbina secara kaffah ( menyeluruh ). Ianya adalah seperti berikut :

1. Aktivis Hal Ehwal Kepenggunaan

2. Aktivis Hal Ehwal Alam Sekitar

3. Aktivis Hal Ehwal Kesihatan

4. Aktivis Hal Ehwal Pembangunan Luar Bandar & Bandar

5. Aktivis Hal Ehwal Pendidikan Qariah

6. Aktivis Hal Ehwal Keluarga Bahagia

7. Aktivis Hal Ehwal Ekonomi Mandiri

8. Aktivis Hal Ehwal Pembinaan Generasi Muda

9. Aktivis Hal Ehwal Pembangunan Wanita

10. Aktivis Hal Ehwal Sosial dan Budaya

11. Aktivis Hal Ehwal Pengurusan Sumber Qariah

12. Aktivis Hal Ehwal Membina Kepimpinan Qariah

13. Aktivis Hal Ehwal Membina Organisasi Tempatan

14. Aktivis Hal Ehwal Penghayatan Islam Kaffah

15. Aktivis Hal Ehwal Perhubungan Dengan Kerajaan Dan Agensi

16. Aktivis Hal Ehwal Kebajikan Qariah

Sasaran seterusnya adalah untuk menubuhkan sebanyak mungkin gerakan aktivis Qariah di serata negara.

Semoga usaha gemblengan wakil Qariah yang hadir dapat merealisasikan harapan untuk membina Qariah mithali yang menerapkan cara hidup positif, sihat, berjimat cermat, cemerlang serta soleh.

Muhammad Nuruddin Bashah

AJK Media Jamiy Perak