Logo Jamai'y

Logo Jamai'y
Showing posts with label GMJ. Show all posts
Showing posts with label GMJ. Show all posts

Friday, June 25, 2010

Himpunan 100 ribu bantah judi kehendak rakyat - GMJ

Himpunan 100 ribu bantah judi kehendak rakyat - GMJ
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Jun: "Perhimpunan ini kehendak semua rakyat,” kata Pengerusi Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ), Mohd Azmi Abdul Hamid selepas memohon permit untuk himpunan 100 ribu rakyat bantah judi pada 3 Julai ini.

Beliau mengetuai GMJ ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memohon permit itu. Hadir sama ialah Setiausaha GMJ, Suhaizan Kayat dan AJK GMJ, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Himpunan besar-besaran 3 Julai ini menghimpunkan semua bangsa dan agama membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan termasuk judi bola sempena Piala Dunia 2010.

Mereka dijangka berkumpul bermula jam 2 petang di beberapa tempat termasuk di Masjid Jamek, Masjid Negara dan pusat membeli belah Sogo sebelum bercantum dan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut GMJ, peserta himpunan disaran memakai pakaian sukan atau jersi bolasepak piala dunia sebagai menyatakan bantahan terhadap kelulusan lesen judi tersebut.

Mereka juga dibawa oleh Ketua Cawangan Khas Dang Wangi, DSP Izan Bakri untuk diambil keterangan kira-kira 30 minit berhubung himpunan tersebut.

Pada sidang media selepas itu Cikgu Azmi berkata, GMJ mengharapkan respons positif pihak polis berhubung permohonan yang telah dibuat.

"Kami harap ada kerjasama positif membenarkan kita mengadakan himpunan aman menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Ditanya jika permohonan tersebut ditolak, beliau berkata wakil-wakil GMJ akan tetap berada di tempat-tempat yang ditetapkan pada hari tersebut.

"Perhimpunan ini kehendak semua rakyat. Wakil kami tetap akan berada di Masjid Negara, terpulang kepada orang ramai sama ada mahu menyertai atau tidak," katanya.

Thursday, June 17, 2010

Judi sukan: GMJ mahu diharamkan, bukan tangguh

Judi sukan: GMJ mahu diharamkan, bukan tangguh


Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) melihat pengumuman kerajaan pusat berhubung "penangguhan" pemberian lesen judi Ascot Sports Sdn Bhd sebagai dolak dalik berterusan Umno kepada rakyat.

Menurut setiausahanya, Suhaizan Kayat (gambar), berkata pengumuman itu langsung tidak menepati hasrat rakyat yang mahu segala kelulusan berkaitan perjudian diharamkan dan bukan ditangguhkan.

"Kalau tangguh bermaksud satu masa nanti dia akan luluskan juga.
"Bila desakan rakyat reda, desakan Vincent Tan pula kuat, ianya akan diteruskan juga," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, penangguhan serupa pernah dibuat pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu beliau menjadi perdana menteri pada tahun 2004 namun kemudian diteruskan pula pada zaman Datuk Seri Najib tahun ini.
Penangguhan katanya, bukan satu keputusan konkrit kerana sejarah sama 2004 tersebut akan terus berulang.

"Kita minta satu perkataan sahaja iaitu "mansuh", jangan berdolak dalik kata itu la ini la," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim memberitahu keputusan pemberian lesen judi oleh kerajaan pusat kepada Ascot Sports Sdn Bhd telah ditangguhkan bagaimanapun gagal memberitahu bila tarikh penangguhan itu dibuat.

Sementara itu, GMJ akan meneruskan kempen mereka dengan menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Datuk Seri Najib pada 23 Jun ini di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Isnin lalu, mereka telah menyerahkan memorandum sama ke Dewan Rakyat dengan harapan ianya dibangkitkan dalam perbahasan parlimen.

GMJ antara lain menuntut tiga perkara pokok iaitu menarik balik lesen judi sukan, menguatkuasakan undang-undang judi dan memperhebatkan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya membenci judi.