Logo Jamai'y

Logo Jamai'y

Tuesday, June 15, 2010

kenyataan GMJ : MAHATHIR TERSASAR JAUH MENUDING BANTAHAN RAKYAT SEBAGAI BERSIFAT POLITIK

Kenyataan Media
Gerakan Rakyat Membantah Judi

15hb Jun 2010
MAHATHIR TERSASAR JAUH MENUDING BANTAHAN RAKYAT SEBAGAI BERSIFAT POLITIK

Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa bantahan banyak pihak terhadap langkah kerajaan mengeluarkan lesen judi sukan lebih bersifat politik semata-mata adalah tersasar jauh dari realiti.
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang sudah disokong lebih 40 pertubuhan termasuk dari kalangan bukan Islam adalah petanda yang jelas Tun Mahathir tidak mengikut perkembangan semasa dengan betul.
Kenyataan beliau tersasar jauh dari sentimen dan suara rakyat yang kini bukan sahaja datang dari pihak luar kerajaan malah juga dari dalam kerajaan BN sendiri.
Apakah beliau turut menuding bahawa UMNO Johor dibawah pimpinan Datuk Seri Ghani Osman yang telah mengeluarkan kenyataan menolak lesen judi sukan itu turut dianggap beralasan politik dan bukan atas landasan agama?
Mahathir jelas terlalu ghairah untuk melihat sesuatu isu dari kacamata politik bila ia disuarakan oleh lawan politiknya sehingga hal yang jelas ditolak rakyat juga ditafsir olehnya sebagai berpolitik.
GMJ terkejut kenyataan beliau bahawa langkah kerajaan mengeluarkan lesen judi sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia hendaklah diterima secara terbuka untuk membendung kegiatan itu daripada berleluasa.
Hujah sebegini jelas ditolak oleh rakyat kerana ia hanya berasaskan logik sempit. GMJ menganggap hujah aneh dan berbaur menjaga kepentingan kaki judi ini hanya datang dari mereka yang ingin mengaut keuntungan dari masalah sosial yang ujud.
GMJ menolak dengan keras pendekatan komersialisasi masalah iaitu bila suatu masalah tidak dapat diatasi maka caranya ialah dengan “melesenkan masalah” dan pihak yang mendapat lesen tersebut akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan mengeksploitasi ketagihan golongan kaki judi.
Apakah dengan mengatakan sama ada lesen judi dikeluar atau tidak, judi tetap berlaku di negara kita kerana orang-orang Cina memang suka berjudi, maka Mahathir berpendirian dengan kaedah yang serupa boleh dipakai kepada masalah-masalah yang lain seperti pelacuran dan dadah?
GMJ tidak dapat menerima tuduhan beliau terhdap orang Cina memang suka berjudi . Kenyataan beliau ini terlalu umum yang boleh menyebabkan kaum Cina tersinggung . Apakah benar ini suatu fakta atau pemerhatian yang umum semata-mata. Walau apapun kenyataan itu sangat menghina. .
GMJ juga melihat kenyataan beliau bahawa “jika ada pihak berjudi tanpa lesen, tidak ada satu cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa” sebagai pendapat yang dangkal. Apakah dengan diberi lesen kepada pencetus masalah akan membendung orang dari berjudi dengan berleluasa?
Pandangan beliau ini jelas bukan bersifat untuk menyelesaikan masalah namun cenderung untuk hanya menghalalkan masalah.
GMJ berpendirian walaupun dari segi agama ia tidak haram bagi orang Cina namun itu tidak bermakna kegiatan yang membawa implikasi buruk kepada kehidupan sosial tidak ditolak oleh kaum tersebut.
Kami sangat kesal terhadap kenyataan Dr. Mahathir bahawa perlu diasingkan politik dari agama .
Walaupun beliau menuding kenyataan itu kepada parti politik bukan kerajaan , namun kenyataan ini terbabas jauh dari tuntutan Islam. Memisahkan agama dan politik adalah suatu pemikiran yang ternyata sesat dan tidak boleh diterima.
Beliau berhak untuk berkata pihak politik lawan menolak judi kerana motif politik , akan tetapi kenyataan beliau bahawa agama dan politik perlu dipisahkan adalah pandangan beliau yang sudah sarat dengan pemikiran sekular yang sangat mendalam.
GMJ mengesa Dr. Mahathir berhenti menjadi pembela kepada tauke judi dan mereka yang mahu berjudi.Jika dizaman beliau berkuasa , beliau gagal membendung industri judi dari berleluasa, janganlah sekarang beliau tampil pula menjadi seorang jaguh mempertahankan industri judi.
Jikapun ini hanya pendapat peribadi beliau , akan tetapi kerana belaiu adalah mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO dan BN , pandangan beliau dilihat melambangkan pendirian kerajaan , UMNO dan BN.
GMJ bertegas bahawa gerakan membantah judi sukan akan diteruskan sehingga kerajaan membatalkannya dan gerakerja untuk mendidik rakyat untuk membendung tabiat berjudi akan digiatkan diseluruh negara.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengerusi Gerakan Rakyat Membantah Judi

Laporan Persidangan Khas Pasca Freedom Flotilla-Agenda NGO Malaysia Bebaskan Palestin

Laporan Persidangan Khas Pasca Freedom Flotilla-Agenda NGO Malaysia Bebaskan Palestin
Tarikh : 11 Jun 2010 (Sabtu)
Tempat : Perak Techno Trade Centre, Jelapang, Ipoh, Perak.
Masa : 2.30 petang – 5.30 petang


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada 11 Jun 2010 telah menganjurkan persidangan khas dengan matlamat melancar dan meneruskan kempen bagi mendokong perjuangan rakyat Palestin pasca Freedom Flotilla. Persidangan yang mensasarkan kehadiran wakil-wakil NGO Malaysia ini turut merangka agenda bertindak yang bakal dilaksanakan bagi memastikan semangat membebaskan Palestin tidak surut dalam jiwa masyarakat Islam khususnya dan masyarakat awam umumnya. Cikgu Azmi selaku Setiausaha Agung MAPIM telah mempengerusikan sesi pembentangan pelan tindakan. Antara wakil NGO yang hadir adalah daripada :

1. Ummah Care
2. Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang
3. TERAS Pengupayaan Melayu
4. SALIMAH-Teras
5. Amnesty International Perak
6. JAMAI’Y
7. CITIZEN International
8. Angkatan Pemuda Masjid

Pelan bertindak NGO Malaysia telah melibatkan beberapa agenda:
1. Penjelasan tujuan persidangan khas ini diadakan
a. Membina gerak kerja yang bersepadu antara NGO Malaysia untuk menangani isu Palestin.
b. Menyebarkan kefahaman dan maklumat terkini situasi di Palestin melalui mekanisme yang berkesan.
c. Mengembleng masyarakat dan massa bagi menyokong perjuangan Palestin secara berterusan.
d. Mewujudkan kerjasama dan korelasi tenaga kerja antara NGO Malaysia dalam usaha membantu pembebasan Palestin.
e. Melancarkan pelbagai kempen di peringkat nasional dan antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel sehingga Palestin dibebaskan.
f. NGO mengambil inisiatif dengan jaringan NGO dunia bagi berusaha menangani isu Palestin dan tidak hanya pasif menantikan tindakan dai kerajaan sahaja.


2. Pembentangan pengalaman wakil MAPIM yang menyertai misi Freedom Flotilla ke Gaza (Saudara Mustafa Mansur).


3. Perincian isu utama Palestin.
a. Gerakan Zionis/Freemason
b. Membebaskan Gaza
-buka kepungan (blockade)
-jalan darat di Rafah, Mesir
-jalan laut sehingga 78 batu nautika (melebihi undang2 antarabangsa)
c. Membebaskan Masjid Al-Aqsa
d. Hak kembali ke tanah Israel
e. Hak pelarian Palestin yang berada di luar negara
f. Jenayah perang dan perlanggaran hak asasi oleh Israel
g. Perampasan tanah secara haram dan pemusnahan rumah rakyat Palestin oleh Israel (illegal settlement)
h. Penyelesaian dua negara iaitu usaha perbincangan antara Palestin dan Israel itu sendiri
i. Bantuan kemanusiaan kepada Palestin
j. Penguatkuasaan resolusi PBB
k. Peranan OIC


4. Senarai agenda tindakan NGO
a. Kempen boikot barangan/produk Yahudi
b. Program kesedaran masyarakat dan mobilisasi massa
c. Tabung kemanusiaan Palestin
d. Jaringan serantau dan antarabangsa
e. Kempen media
f. Aksi langsung (direct action)
g. Demonstrasi
h. Penerbitan
i. Latihan sukarelawan

5. Tugasan yang perlu dibuat
a. Melobi di peringkat antarabangsa supaya pintu Rafah dibuka dengan bebas.
b. Menghimpunkan dana untuk membantu Palestin
c. Memilih delegasi untuk ke Palestin
d. Membina bubungan dengan pihak di Gaza


6. Pengenalan misi ‘Ramadhan di Gaza‘
-Kerajaan Selangor telah bersetuju menjadi penaja untuk sumbangan misi ini
-Ahli rombongan akan disaring oleh urusetia
-pertemuan dengan Wisma Putra akan diatur
-tekanan akan diberikan kepada Mesir akan memberi kebebasan kepada jalan darat di Rafah

Disediakan oleh:
Wardah Abd Rahman
Muhammad Nuruddin Bashah

Saturday, January 2, 2010

ES KALIMAH ALLAH - MAPIM MERAYU UNTUK MENGADAP MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU

Kenyataan Media

1 hb Januari 2010


KES KALIMAH ALLAH - MAPIM MERAYU UNTUK MENGADAP MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU


MAPIM menyeru seluruh NGO Islam di seluruh negara untuk bersama-sama bersatu menyatakan keprihatinan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin yang mengizinkan penggunaan Kalimah Allah oleh pihak gereja di Malaysia dalam majalahnya Herald.

Bagi kami keputusan yang diistiharkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kelmarin , Datuk Lau Bee Lan , adalah keputusan yang telah menyentuh persoalan Islam dan kuasa Raja-raja .

MAPIM juga melihat keputusan tersebut juga telah menyentuh persoalan kedudukan istimewa agama Islam dalam Perlembagaan.

MAPIM melihat secara serius implikasi dari keputusan ini . Ia menjadi prisiden untuk pelbagai lagi isu lain yang berkaitan dengan Islam yang dimasa akan datang boleh dibawa ke Mahkamah sivil . Ini dengan jelas akan menggugat kestabilan sosial jika kesucian agama Islam dilihat sering dicabar melalui Mahkamh sivil.

Ternyata pihak yang berkenaan telah menyalahguna kuasa Mahkamah sivil untuk menceroboh dalam urusan agama Islam .

Kami dengan ini mengesa agar pihak berkuasa agama terutama Majlis Raja-raja Melayu segera menegaskan kedudukan Islam dan bidangkuasa institusi Islam dinegeri-negeri .

MAPIM berpendapat proses undang-undang telah disalahguna dan ini tidak boleh dibenarkan selagi bidangkuasa pihak Majlis Raja-raja Melayu terhadap urusan Islam adalah jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri.

Dalam hal ini sumpah menjaga agama Islam pada setiap masa dalam pertabalan KDYMM YDP Agong hendaklah diterjemahkan segera demi menjaga martabat dan maruah Islam di negara ini.

Kalimah Allah bagi umat Islam bukan sekadar sebuah nama malah adalah penegasan mengenai Keesaaan Allah yang tidak boleh disamakan dengan maksud yang hendak diguna oleh agama lain dari Islam. Kalimah Allah yang khusus itu ternyata tidak boleh dikompromikan dengan maksud Tuhan yang ada dalam agama lain.

Kami berpendirian kebebasan bersuara dalam mengguna kalimah Allah yang menyentuh soal yang sangat sensitif bagi pengganut agama Islam , tidak boleh hanya dilihat sebagai istilah yang bersifat umum. Perbahasan mengenai hal ini bukan bidang Mahkamh sivil untuk memutuskannya .

Kami mendapati pertimbangan terhadap suasana dan latarbelakang masyarakat Islam serta sejarah kebersamaan hidup bernegara di tanah air ini antara umat Islam dan penganut agama lain telah tidak dihormati oleh pihak yang berkenaan.

Proses undang-undang yang telah diguna oleh gereja untuk mencabar bidangkuasa KDN dalam hal mengguna Kalimah Allah hanya dilihat secara pentadbiran (administrative) dan tidak menimbangkannya secara teliti terhadap sensitiviti umat Islam.

Suasana dan latarbelakang masyarakat negara ini sejak Merdeka telah disepakati agar tidak menggugat kehormanian yang sedia ada. Kenapa sekarang pihak gereja tiba-tiba mahu mencabar keharmonian tersebut?

MAPIM melihat ini sebagai suatu pencerobohan yang sengaja untuk mencabar wibawa pihak berkuasa Islam serta menguji kesabaran umat Islam.

Kami dengan itu merayu agar Majlis Raja-raja Melayu mengadakan sidang tergempar dengan segera untuk menggunakan kuasa yang ada bagi memperbetulkan kekecohan yang timbul.

Kami sangat mengharapkan pihak Majlis Raja-raja melihat isu ini secara serius dan memberi perhatian khusus untuk memastikan tidak ada pihak yang cuba mempermain-mainkan isu agama Islam sebagaimana umat Islam tidak dibenarkan menceroboh dalam urusan agama yang lain.

MAPIM akan mengembleng suluruh umat Islam untuk merayu Majlis Raja-raja Melayu segera berindak.

Kami akan memohon pemegang Mohor di Raja untuk dapat memanjangkan usul ini kepada Majlis Raja-raja Melayu.


Mohd Azmi Abdul Hamid

Setiausaha Agung

Majlis Perunding Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Monday, November 16, 2009

Pusat pengedaran arak Perak dibuka berhampiran Kg Melayu Sg Rapat

Sumber: http://ajijoi.blogspot.com/

IPOH 17 NOV Jika dahulunya dibongkar mengenai penjualan arak yang berleluasa di kawasan majoriti Melayu di Medan Gopeng, Sg Rapat, kini penduduk berdekatan digemparkan sekali lagi dengan masalah yang lebih besar.

Sebuah bangunan baru yang dibina beberapa bulan lalu di Jalan Sultan Azlan Shah Selatan iaitu jalan yang menuju ke Kg Sg Rapat dan juga Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh kini akan dibuka sebagai Pejabat Pemasaran Perak untuk jenama arak popular Guiness Anchor.

Di harapkan semoga kawasan majoriti Melayu yang berhampiran iaitu Kg Sg Rapat dibebaskan segera daripada pengaruh penjualan arak yang menjadi ibu kepada segala maksiat.

Penduduk Melayu di Kg Sg Rapat, Kg Rapat Jaya dan Kg Rapat Jaya Tambahan yang terletak hanya dibelakang pejabat pemasaran arak ini menggunakan laluan dihadapan pejabat tersebut setiap hari untuk ke pusat bandar.

Semoga pejabat pemasaran arak ini dapat dipindahkan jauh daripada kawasan penduduk yang majoritinya Melayu beragama Islam.

Pihak berkuasa tempatan perlu bertindak segera dan lebih peka kepada sensitiviti umat Islam yang berhampiran.

Pub-pub kecil di Kampar; sila tangani segera!

Pub-pub kecil di Kampar; sila tangani segera!

Rakyat Kampar mungkin tidak hairan dengan pendedahan oleh beberapa pemilik premis makanan dan perniagaan sekitar Plaza Keranji Jalan Pasar berkenaan isu pengemis dan pusat arak remaja Kampar di sana.

Sinar Harian edisi Perak 6 November 2009 temubual mereka bersama beberapa pemilik premis makanan yang mengadu kawasan perniagaan mereka dikelilingi oleh para pengemis yang membuat kotor serta lorong celahan tangga seolah-olah ‘ pub kecil’ yang menjadi tumpuan para remaja sekolah meminum arak secara terbuka.

Adakah hal senario biasa ini perlu dibiar berterusan?

Isu pengemis perlu ditangani oleh pihak pemaju Plaza Keranji berkenaan serta dikuatkuasa juga oleh pihak berkuasa tempatan. Kita jelas boleh mengandaikan perkara ini telah dimkalumi oleh pihak terbabit, tinggal lagi perlaksanaan dan penguatkuasaan sahaja yang kurang efektif.

Bau busuk dan botol arak murah terlonggok di celahan tangga dan kedai-kedai.

Isu arak murah yang dikeluarkan secara haram bukan perkara baru. Di Padang bandaraya Green Town anda boleh menjumpai secara mudah botol-botol arak murah berkenaan yang berkandungan 24% alcohol yang semestinya bukan sekadar mabuk, malah membunuh! Jika anda menghubungi alamat yang tertera pada botol tersebut, jawapannya anda menjumpai alamat ‘hantu’ yang tidak wujud.

Isu ‘arak haram’ perlu ditangani melalaui siasatan dari mana ia dijual dan dipasar kepada remaja sebelum Berjaya menjumpai kilang-kilang kecil mereka. Mayarakat juga tahu walaupun buat-buat tak tahu, berkenaan kewujudan arak murah Thai Song yang menjadi kegilaan mat rempit. Dijual dalam harga semurah RM3 sahaja, semua remaja mampu memiliki minuman beralkohol semaksima 30% !

Kerosakan akhlak remaja dan sosial di sekitar Plaza Keranji merosakan imej komuniti kita di sana. Kepada parti politik di sana, sila bertindak untuk kebaikan kebajikan masyarakat anda.

Muhammad Nuruddin Bashah

Setiausaha TERAS Caw Perak

Monday, November 2, 2009

Perlancaran e-relawan; bentuk baru pemuafakatan aktivis kemasyarakatan.

Gambar kanak-kanak di Padang baru-baru ini...


Jamai’y Perak yang merupakan akronim bagi Jaringan Permuafakatan Pertubuhan Islam Perak telah menubuhkan satu komuniti baru iaitu e-relawan. Kelompok Relawan Jamaiy ini telah julung-julung kalinya mengadakan siri bantuan ke Padang Indonesia pada bencana gempa bumi baru-baru ini. E-relawan bakal menghimpunkan relawan bukan sahaja dari Malaysia malah beberapa Negara jiran juga untuk dilatih sebagai skuad bantuan bencana alam dan kerja kemanusiaan dalam peperangan dan penindasan terhadap umat Islam.

Kelompok relawan ini akan didaftarkan secara online dan merupakan satu rangkaian besar yang kini juga telah menghimpunkan belia sedar di serata nusantara seperti Acheh, Brunei, Padang, Patani dan Solo. Malah e-relawan juga sedang berusaha mengumpul keahlian dari Negara-negara timur tengah.

Jamai’y Perak akan melancarkan satu gerakan e-relawan pada 7 Nov 2009 (sabtu). Program akan Bermula pada jam 8 malam.

Mustapa Mansor Pengarah e-relawan Jama'iy Perak amat berharap agar program ini juga disertai oleh semua belia-belia di Perak memandangkan ia akan berpusat di Perak. Kehadiran Unit Amal di majlis perlancaran tersebut amatlah diharapkan memandang pengalaman dan kapabiliti Unit Amal yang telah teruji dalam pelbagai bentuk bantuan bencana alam boleh dimanfaatkan kepada relawan-relawan baru yang ingin bersama dalam agenda kemasyarakatan ini.

Program akan bertempat di Pusat Motivasi Jamaiy Perak, No 33 a, Jalan Ampang Baru 6a, Ipoh Perak (bersebelahan Universiti Kuala Lumpur cawangan Perak). Sila hubungi Mustafa 012 3333825 (pengerusi)




Saturday, October 24, 2009

Kenyataan TERAS Perak; Tingkatkan keefisienan Bajet 2010

Kenyataan TERAS Perak; Tingkatkan keefisienan Bajet 2010

TERAS cawangan Perak menyambut baik pembentangan bajet 2010 oleh Perdana Menteri baru-baru ini dengan harapan bajet tersebut adalah satu pengaliran wang untuk kesejahteraan rakyat dan masyarakat bawahan. Erti kesejahteraan yang dimaksudkan adalah nilai kepuasan dan kenikmatan yang efektif yang berjaya dirasai oleh para rakyat secara umum serta bebas daripada segala pengaruh kroni, pembaziran serta gejala ‘mark-up’ wang oleh pihak-pihak tertentu yang semestinya bakal mengurangkan keberkesanan wang tersebut.

Bagi kami, erti kemakmuran dan pengutamaan rakyat seperti yang cuba digagaskan oleh Gagasan 1 Malaysia bukanlah dengan melihat jumlah atau peruntukan wang dan amaun yang digunakan untuk sesuatu sektor. Kemakmuran dan kesejahteraan ini hanya menjadi realiti apabila sejumlah wang tersebut diterjemah bersama manual operasinya yang cermat dan teliti demi memastikan pengaliran wang tersebut sahih serta berkesan.

TERAS Perak meneliti juga unsur kerosakan dalam negara yang sebenarnya telah lama membunuh sebarang sistem, bajet atau perancangan negara ini iaitu barah rasuah. Kami merujuk strategi kedua bajet 2010 iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan, kerajaan akan meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, memantapkan sistem perbankan dan kewangan, memerangi rasuah, pembangunan wilayah koridor, dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan.

Rasuah tidak boleh dibunuh atau ditangani hanya melalui stimulus wang yang besar. Rasuah adalah penyakit sosial yang berakar umbi dari sekecil-kecil perkara seperti guru, kerani atau pekerja am sehinggalah ke kerusi para menteri. Yang membezakannya hanyalah amaun wang yang dirasuahkan.

Rasuah adalah antara penyakit yang bakal menggagalkan sebarang perancangan yang telah kerajaan garapkan kerana umum masyarakat telah menyedari betapa wang yang disalurkan semestinya akan ditapis oleh pihak tertentu terutamanya apabila melibatkan projek-projek berpotensi komersial. Peruntukan besar untuk TNB, Projek Empangan Paya Peda di Terengganu, memodenkan industri akuakultur, Konsortium FELDA, FELCRA dan RISDA, peruntukan RM9 bilion untuk biayai projek infrastruktur, TEKUN dan bajet RM14.8 bilion untuk mengurus, membangun dan menaik taraf hospital dan klinik adalah antara projek yang berpotensi komersial dan perlu dikawal serta memiliki ketelusan (transparency) tinggi untuk diaudit. Gejala salah laku wang dan rasuah umpama kes mega PKFZ perlu diperangi habis-habisan serta dijadikan prioriti utama kerajaan.

Ketua Audit Negara juga perlu diberi hak istimewa dan diisytiharkan sebagai bebas dan beroutoriti untuk mengaudit sebarang pengaliran wang sepertimana yang terkandung dalam Bajet 2010. Pengupayaan sistem audit adalah antara perkara utama yang ingin dimaklumi oleh rakyat. Justeru itu, seiring dengan pengisytiharaan bajet 2010, sikap dan keagresifan kerajaan dalam dua perkara iaitu rasuah dan pengupayaan sistem audit negara adalah penting sekali.

TERAS juga tertarik dengan strategi ketiga iaitu , kerajaan akan berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar serta pedalaman, dan menambahbaik pengangkutan awam. Statistik IPKKL dari Januari hingga April tahun 2009 menunjukkan kes jenayah samun bersenjata meningkat sebanyak 2,254 kes berbanding 1,249 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu manakala kes jenayah ragut juga mencatatkan peningkatan 1,206 kes tahun ini berbanding 606 kes pada tahun lepas. (sumber: http://mstar.com, 16 April 2009).

Jenayah ragut di ibu negara juga semakin membimbangkan dengan peningkatan 99 peratus kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2009, berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Antara bulan Januari hingga April tahun 2009, sebanyak 600 kes jenayah ragut dicatatkan iaitu 1,206 kes berbanding 606 kes sepanjang tempoh yang sama tahun 2008. Justeru jenayah perlu ditangani secara mendasar dan perlu bermula dari akar umbi.

Keutamaan menangani jenayah dan pengupayaan sistem keselamatan bukan suatu isu yang bernilai ekonomi semata-mata seperti ingin menarik pelabur umpamanya walaupun isu ini jelas menjejaskan kehadiran pelabur asing. Menurut Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi 2009-2010 yang baru dikeluarkan, ranking keselamatan negara jatuh 25 tangga ke kedudukan ke-85. Isu keselamatan bukan sahaja menjadi kerisauan rakyat tetapi pelaburan dari luar juga menguncup dengan tahap daya saing Malaysia peringkat global jatuh tiga anak tangga ke kedudukan ke-24.

Isu jenayah perlu dilihat dari sudut punca dan sebab musababnya. Sikap kerajaan yang meliberalisasikan hiburan sekaligus mencambahkan benih hedonisme adalah antara punca berlakunya gejala sosial dan jenayah. Perlaburan tinggi untuk industri filem dan muzik yang kelihatannya enggan menerima nasihat dan teguran masyarakat telah membuahkan padah kepada sistem sosial kita hinggakan gejala kecil seperti sikap menghias motosikal mampu bertukar kepada sikap mat rempit, jenayah bunuh dan arak.

Kerajaan perlu menumpukan juga aliran wang untuk merealisasikan strategi ketiga Bajet 2010 melalui NGO-NGO sosial yang konsisten mendekati remaja dan belia yang bermasalah. NGO yang terbabit adalah seperti UNGGAS dan LANDAS, Persatuan Ulama’ Malaysia, Rumah Pemulihan Akhlak Raudhatus Sakinah, serta lain-lain NGO yang diperhatikan cukup komited berusaha menyelamatkan aqidah, moral dan akhlak para remaja dan belia negara ini. Bajet yang mendasar sebeginilah berupaya membuktikan bajet 2010 adalah untuk rakyat.

TERAS juga ingin menegur kerajaan agar mengurangkan retorik 1 Malaysia dalam setiap agenda yang ingin dilaksanakan umpama perlaksanaan Klinik 1 Malaysia. Jika Islam Hadhari menjadi propaganda Perdana Menteri terdahulu kini tersisih, adakah Klinik 1 Malaysia yang bakal berjasa kepada warga kota akan terlupus sebaik sahaja peralihan jawatan Perdana Menteri berlaku? Kerajaan seharusnya tulus dan berkhidmat terus kepada rakyat tanpa mengira jenama yang ingin dipaparkan. Jadikan keberhasilan khidmat dan pengurangan ketirisan wang sebagai KPI untuk menilai kejayaan Bajet 2010.

Kenyataan TERAS Cawangan Perak

Ustaz Wan Ahmad tarmizi Bin Abdul Aziz (Pengerusi TERAS Perak)

Muhammad Nuruddin Bin Bashah ( Setiausaha)

Haji Muhammad Saleh Bin Abu bakar ( Ketua Penerangan)