Logo Jamai'y

Logo Jamai'y

Tuesday, June 15, 2010

kenyataan GMJ : MAHATHIR TERSASAR JAUH MENUDING BANTAHAN RAKYAT SEBAGAI BERSIFAT POLITIK

Kenyataan Media
Gerakan Rakyat Membantah Judi

15hb Jun 2010
MAHATHIR TERSASAR JAUH MENUDING BANTAHAN RAKYAT SEBAGAI BERSIFAT POLITIK

Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa bantahan banyak pihak terhadap langkah kerajaan mengeluarkan lesen judi sukan lebih bersifat politik semata-mata adalah tersasar jauh dari realiti.
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang sudah disokong lebih 40 pertubuhan termasuk dari kalangan bukan Islam adalah petanda yang jelas Tun Mahathir tidak mengikut perkembangan semasa dengan betul.
Kenyataan beliau tersasar jauh dari sentimen dan suara rakyat yang kini bukan sahaja datang dari pihak luar kerajaan malah juga dari dalam kerajaan BN sendiri.
Apakah beliau turut menuding bahawa UMNO Johor dibawah pimpinan Datuk Seri Ghani Osman yang telah mengeluarkan kenyataan menolak lesen judi sukan itu turut dianggap beralasan politik dan bukan atas landasan agama?
Mahathir jelas terlalu ghairah untuk melihat sesuatu isu dari kacamata politik bila ia disuarakan oleh lawan politiknya sehingga hal yang jelas ditolak rakyat juga ditafsir olehnya sebagai berpolitik.
GMJ terkejut kenyataan beliau bahawa langkah kerajaan mengeluarkan lesen judi sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia hendaklah diterima secara terbuka untuk membendung kegiatan itu daripada berleluasa.
Hujah sebegini jelas ditolak oleh rakyat kerana ia hanya berasaskan logik sempit. GMJ menganggap hujah aneh dan berbaur menjaga kepentingan kaki judi ini hanya datang dari mereka yang ingin mengaut keuntungan dari masalah sosial yang ujud.
GMJ menolak dengan keras pendekatan komersialisasi masalah iaitu bila suatu masalah tidak dapat diatasi maka caranya ialah dengan “melesenkan masalah” dan pihak yang mendapat lesen tersebut akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan mengeksploitasi ketagihan golongan kaki judi.
Apakah dengan mengatakan sama ada lesen judi dikeluar atau tidak, judi tetap berlaku di negara kita kerana orang-orang Cina memang suka berjudi, maka Mahathir berpendirian dengan kaedah yang serupa boleh dipakai kepada masalah-masalah yang lain seperti pelacuran dan dadah?
GMJ tidak dapat menerima tuduhan beliau terhdap orang Cina memang suka berjudi . Kenyataan beliau ini terlalu umum yang boleh menyebabkan kaum Cina tersinggung . Apakah benar ini suatu fakta atau pemerhatian yang umum semata-mata. Walau apapun kenyataan itu sangat menghina. .
GMJ juga melihat kenyataan beliau bahawa “jika ada pihak berjudi tanpa lesen, tidak ada satu cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa” sebagai pendapat yang dangkal. Apakah dengan diberi lesen kepada pencetus masalah akan membendung orang dari berjudi dengan berleluasa?
Pandangan beliau ini jelas bukan bersifat untuk menyelesaikan masalah namun cenderung untuk hanya menghalalkan masalah.
GMJ berpendirian walaupun dari segi agama ia tidak haram bagi orang Cina namun itu tidak bermakna kegiatan yang membawa implikasi buruk kepada kehidupan sosial tidak ditolak oleh kaum tersebut.
Kami sangat kesal terhadap kenyataan Dr. Mahathir bahawa perlu diasingkan politik dari agama .
Walaupun beliau menuding kenyataan itu kepada parti politik bukan kerajaan , namun kenyataan ini terbabas jauh dari tuntutan Islam. Memisahkan agama dan politik adalah suatu pemikiran yang ternyata sesat dan tidak boleh diterima.
Beliau berhak untuk berkata pihak politik lawan menolak judi kerana motif politik , akan tetapi kenyataan beliau bahawa agama dan politik perlu dipisahkan adalah pandangan beliau yang sudah sarat dengan pemikiran sekular yang sangat mendalam.
GMJ mengesa Dr. Mahathir berhenti menjadi pembela kepada tauke judi dan mereka yang mahu berjudi.Jika dizaman beliau berkuasa , beliau gagal membendung industri judi dari berleluasa, janganlah sekarang beliau tampil pula menjadi seorang jaguh mempertahankan industri judi.
Jikapun ini hanya pendapat peribadi beliau , akan tetapi kerana belaiu adalah mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO dan BN , pandangan beliau dilihat melambangkan pendirian kerajaan , UMNO dan BN.
GMJ bertegas bahawa gerakan membantah judi sukan akan diteruskan sehingga kerajaan membatalkannya dan gerakerja untuk mendidik rakyat untuk membendung tabiat berjudi akan digiatkan diseluruh negara.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengerusi Gerakan Rakyat Membantah Judi

No comments:

Post a Comment