Logo Jamai'y

Logo Jamai'y

Tuesday, May 5, 2009

Teras menyeru umat Islam peka dengan isu aqidah umat

Mengikuti kes hak penjagaan dan agama anak Mohd Ridzuan, menyebabkan kita faham bahawa kes-kes hak penjagaan anak bagi mana-mana individu yang menganut Islam atau yang bertukar agama akan senantiasa berulang. Walaupun telah beberapa kali keputusan mengenai kes sebegini telah dibuat namun penafsiran berbeza bagi pengamal undang-undang serta campur tangan pihak eksekutif menyebabkan kes-kes aqidah menjadi tidak keruan.

TERAS Perak berpendapat bahawa perlunya umat Islam baik di peringkat nasional mahupun yang berlokaliti setempat dengan kes-kes sebegini, agar cakna dan peka dengan perjalanan perundangan sebegini. Ukhuwah persaudaraan kerana Islam perlu ditonjolkan dan ditampil dalam bentuk kebersamaan dalam isu sebegini. Alhamdulillah selain TERAS, pihak ABIM Perak, Muafakat dan ACCIN serta PEMBELA sentiasa peka dan perihatin akan perjalanan kes ini sekaligus memberi jaminan kepada mualaf yang mengalami permasalahan yang sebegini.

Jika kita lihat hari ini, kelompok hak asasi, peguam sivil serta badan-badan liberalis-sekularis, kian rancak menyatukan paduan tenaga untuk menjamin hak mereka menurut fahaman mereka. Walaupun hak terhadap Islam banyak dipelihara melalui Perlembagaan Persekutuan, namun jika umat Islam atau badan-badan Islam leka dan alpa dalam menjaga kebajikan dan ukhuwah sesama kita, maka syariah dan aqidah kita mudah untuk diburaikan.

Generasi tarbiah di kalangan pendakwah awam, penggerak gerakan Islam perlu menampilkan sikap perihatin kita dengan menghulurkan bantuan baik dari segi pemikiran, tenaga, wang ringgit dan kepakaran masing-masing demi agama kita.

Selain itu dalam hal kita mendepani cabaran abad ini, mengetahui perundangan sivil, pemahaman perlembagaan Malaysia serta akta-akta perundangan adalah suatu keperluan. Jika dahulu jihadnya dengan pedang, kini jihad dengan kepetahan dan kefasihan dalam pemikiran, berhujah dan mengetahui pentas pertahanan Islam era ini. Jika sesetengah pendakwah mengabaikan pengetahuan am, pengetahuan undang-undang bukan Islam, pengetahuan berdebat dan ilmu sains politik, maka umat Islam akan terus ketinggalan. TERAS berpendapat, perlunya pendakwah serta umat Islam kita mengkaji dan terus mengkaji serta memiliki ‘self research’ walaupun di mana sahaja kita berada.

Adalah amat diharapkan, agar kita umat akhir zaman menyatukan paduan kerja melalui ukhuwah yang syumul disamping menggilap kepakaran melalui ilmu-ilmu tambahan seperti yang dinyatakan tersebut.

Pengerusi TERAS Perak
Ustaz Wan Ahmad Tarmizi

No comments:

Post a Comment