Logo Jamai'y

Logo Jamai'y

Monday, May 11, 2009

MEMORANDUM mUAFAKAT ULAMA' MENOLAK PPSMI

JARINGAN ULAMA PRIHATIN
Sekreteriat Setiausaha Agung Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)
1014A Kampung Pondok Batu Hampar Merbok Kedah darul Aman

MEMORANDUM
Muafakat Ulama’
Membela Martabat Bahasa Melayu
(MU’ALLIM)
15 Jamadilawal 1430H/ 10hb Mei 2009


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang



Memahami bahawa bahasa mempunyai kaitan langsung dengan persoalan falsafah dan pegangan hidup seseorang Muslim.
Memahami bahawa dengan pemisahan agama dari bahasa akan membawa implikasi besar kepada kaum Muslimin dari sudut pegangan hidup Islam yang berasaskan Tauhid.
Menginsafi bahawa kepentingan penggunaan bahasa dalam Islam ada kaitan dengan makna yang boleh member kesan kepada nilai dan perinsip asas dalam kehidupan seseorang muslim.
Meneliti bahawa fungsi bahasa sangat jelas kepentingan da kedudukannya dalam pengembangan dan penyampaian risalah Islam.
Menginsafi betapa sekularisasi bahasa akan membawa kepada sekularisasi kehidupan kaum kerangka berfkirnya terhadap tasawur Islam yang benar dan murni.
Menghayati betapa bahasa Melayu telah melalui sejarah Islamisasi yang tersendiri sejak kedatangan Islam di alam Melayu, oleh kerana itu ia telah menjadi bahasa yang terpilih untuk membentuk pegangan hidup Islam dikalangan ratusan juta kaum Melayu di nusantara ini.
Menerima bahawa Bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam perkara 152 Pelembagaan Persekutuan sebagai bahasa Kebangsaan Negara ini.
Mengambil perhatian serius bahawa perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran sains dan matematik Dalam bahasa Inggeris) sejak tahun 2002, telah menjejas status dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.
Menyesali bahawa PPSMI telah dilaksanakan dengan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang lebih terperinci da tanpa mengambil pandangan balas dari ahli cendiakawan dan ilmuan Islam.
Memandang serius bahawa perlaksanaan PPSMI telah memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang kepada tahap prestasi pelajar-pelajar di kawasan luar bandar.
Memberi perhatian berat kepada perlaksanaan PSMI yang telah mengenepikan segala usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berkeupayaan tinggi untuk mendidik anak bangsa khasnya dan warga negara amnya.
Memahami bahawasanya perlaksanaan PPSMI oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak mengambil kira segala hujah ilmiah beradasrkan undang-undang, sejarah, kesan, tamadun, sosio-budaya, pembinaan jati-diri dan tamadun bangsa yang telah dibentang oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam negara.
Mengesahkan bahawa beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu ada kaitan denga ta’rif melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan ini bermakna keserasian bahasa Melayu dengan keislaman bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan.

Maka kami sebagai golongan agama yang prihatin terhadap sebarang hal-ehwal yang ada kaitan dengan kedudukan Islam dan kaum Muslimin di negara ini berpendirian,

1) Menolak perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara.


2)Membantah penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekaligus bahasa Islam.


3)Menegaskan bahawa dalil agama untuk mengambalikan pengajaran sains dan matematik kepada bahasa melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:-


Merujuk surah Rum ayat 22:
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang Mengetahui.

Surah Ibrahim ayat 4:
Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya[779], supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan[780] siapa yang dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang dia kehendaki. dan Dia-lah Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

[779] Al Quran diturunkan dalam bahasa Arab itu, bukanlah berarti bahwa Al Qu'an untuk bangsa Arab saja tetapi untuk seluruh manusia.
[780] disesatkan Allah berarti: bahwa orang itu sesat berhubung keingkarannya dan tidak mau memahami petunjuk-petunjuk Allah. dalam ayat ini, Karena mereka itu ingkar dan tidak mau memahami apa sebabnya Allah menjadikan nyamuk sebagai perumpamaan, Maka mereka itu menjadi sesat.

Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al Quran menggunakan bahasa Ibunda Arab sebagai pengantar da menjelaskan makna dan intipati ajaran slam kepada bangsa arab.

Surah Assura ayat 7:


Demikianlah kami wahyukan kepadamu Al Quran dalam bahasa Arab, supaya kamu memberi peringatan kepada ummul Qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) sekelilingnya[1339] serta memberi peringatan (pula) tentang hari berkumpul (kiamat) yang tidak ada keraguan padanya. segolongan masuk surga, dan segolongan masuk jahannam.

[1339] Maksudnya: penduduk dunia seluruhnya.

Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al Quran memilih bahasa Arab sebagai pengantar. Lantaran itu bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat malaysia.

Surah Yusuf ayat 2:

Sesungguhnya kami menurunkannya berupa Al Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya.

Surah Toha ayat 113:

Dan Demikianlah kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab, dan kami Telah menerangkan dengan berulang kali, di dalamnya sebahagian dari ancaman, agar mereka bertakwa atau (agar) Al Quran itu menimbulkan pengajaran bagi mereka.

Surah Az Zumar ayat 27-28:

Sesungguhnya Telah kami buatkan bagi manusia dalam Al Quran Ini setiap macam perumpamaan supaya mereka dapat pelajaran.
28. (ialah) Al Quran dalam bahasa Arab yang tidak ada kebengkokan (di dalamnya) supaya mereka bertakwa.


Surah Al Fussilat ayat 2-3:

2. Diturunkan dari Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
3. Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui,

Surah Al Zukhruf ayat 3:

Sesungguhnya kami menjadikan Al Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memahami(nya).

Semua ayat-ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej rislaah Islam yang disampaikan kepada manusia. Manakala bahasa melayu yang sarat dengan konsep Islam dari Al Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa Inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini.

4)Mendesak supaya perlaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa lain di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat.


5)Menuntut agar kerajaan mengekalkan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa lain.


6)Mendesak agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan Negara termasuk menggalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara.


7)Menegaskan bahasa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya namun bukan dengan cara mengenepikan bahasa Melayu sebagai pengantar matapelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini.


8)Menggesa supaya penggunaan bahasa Melayu sebagai pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor negara samada awam mahupun swasta.


9)Menegaskan bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdalih dengan alasan pencapaian UPSR, PMR dan SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI.


10)Mendesak supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuatu bangsa dan negara.


11)Menggesa agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar di semua institusi pendidikan negara agar bersama bersatu untk membantah perlaksanaan PPSMI


KAMI DENGAN INI MENANDATANGANI PENGISYTIHARAAN INI SEBAGAI PENDIRIAN KAMI UNTUK DIPERKIRAKAN SEBAGAI ASAS KAMI MEMBELA MARTABAT BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN DAN PENTADBIRAN NEGARA.



No comments:

Post a Comment