Logo Jamai'y

Logo Jamai'y

Wednesday, February 18, 2009

Memorandum kepada DYMM Sultan Perak

KUMPULAN PRIHATIN NGO ISLAM PERAK
Alamat : Kompleks Pendidikan Ummah Masjid Aulia’ Jalan Kuala Kangsar 30010 Ipoh.

MEMORANDUM
RAKYAT NEGERI PERAK

Kepada
Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah Ibni
Almarhum Sultan Yussof Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah

MEMORANDUM
KEMBALIKAN HAK RAKYAT MENENTUKAN KERAJAAN
MELALUI PILIHANRAYA DEWAN UNDANGAN NEGERI
DI SELURUH NEGERI PERAK

Kumpulan Prihatin NGO Islam Negeri Perak ( yang menggabungkan 25 NGOs di Negeri Perak) telah dan sedang meneliti dengan penuh minat perkembangan politik di Negeri Perak yang masih tidak menentu. Sehingga hari ini (10 Februari 2009), rakyat dipertontonkan dengan pelbagai adegan dan proses rampasan kuasa yang menyayat hati. Semua ini berlaku setelah keputusan yang dibuat oleh Paduka Seri Sultan Perak tidak berdasarkan kepentingan rakyat Negeri Perak tetapi sebaliknya berdasarkan kepentingan segelintir pihak tertentu. Malah Sultan Perak dikatakan telah bertindak bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri sendiri.

Kebijaksaan yang diharapkan oleh rakyat terhadap Paduka Seri Sultan Perak tidak menjadi kenyataan, apabila keputusan yang dibuat tidak berdasarkan ‘keadilan’ tetapi memihak dan berat sebelah. Buktinya, setelah YAB.Menteri Besar enggan meletakkan jawatan berdasarkan Perkara 16 (6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri, yang tidak membolehkan Menteri Besar meletakkan jawatan atau mengosongkan jawatan, maka Menteri Besar baru telah diperkenankan mengangkat sumpah pada 6 Februari 2009 .

Akibatnya serentak dengan itu telah berlaku peristiwa hitam di hadapan Masjid Ubudiyah selepas solat Jumaat, rakyat menunjukkan bantahan yang sepatutnya tidak berlaku. Sepatutnya peristiwa itu dapat difahami dengan penuh pengertian, bukan ditafsirkan mengikut hasrat tersirat berterusan media perdana yang bersifat fitnah.

Penyelesaian yang terbaik dicadangkan ialah dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak , dan menyerahkan kembali hak menentukan kerajaan di tangan rakyat melalui pilihanraya.

Sesungguhnya jika telah berlaku kesilapan dalam membuat keputusan awal, maka tidaklah akan menjatuhkan maruah dan integriti institusi Raja jika dapat membetulkan kesilapan tersebut. Malah jika rakyat sendiri telah membuat pilihan kelak, maka ketika itu maruah institusi Raja akan bertambah dihormati di mata rakyat.

Memorandum ini ditandatangani oleh wakil-wakil NGO Islam Negeri Perak yang prihatin.

No comments:

Post a Comment